KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib yakin mampu memenangi semula kerusi yang disandangnya jika dicalonkan lagi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Berdasarkan keyakinan itu, beliau sekali lagi menawarkan diri untuk menjadi calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut yang disandangnya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.
Katanya, beliau mahu kekal menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan bagi meneruskan usaha membangunkan Sugut setelah beberapa kejayaan dicapai selama beliau mewakili kawasan itu.
“Saya memang mahu bertanding lagi untuk mempertahankan kerusi DUN Sugut sekiranya diberi mandat oleh Ketua Menteri selaku Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) kerana saya nampak Sugut mula membangun setelah dinaik taraf dari daerah kecil ke daerah penuh.
“Itu adalah usaha saya dan juga usaha pihak pengurusan pejabat daerah kecil Paitan dahulu. Jadi, kita mempunyai perancangan untuk terus membangunkan Sugut,” katanya ditemui selepas Majlis Amanat kementeriannya, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah. (SICC), di sini, hari ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah itu diminta mengulas mengenai hala tuju politiknya berikutan tempoh DUN Sabah sekarang hanya berbaki kira-kira sembilan bulan.
James yang menyertai Gagasan Rakyat selepas mengumumkan keluar daripada UMNO ketika kemelut politik Sabah pada Januari 2023, berkata beliau bimbang perancangannya untuk Sugut terjejas jika orang baharu dicalonkan di kerusi berkenaan.
“Sekiranya ada wakil rakyat yang baharu di situ sudah pasti semua perancangan kita mungkin akan terbantut dan tergendala.
“Itulah sebabnya saya mahu bertanding lagi. Tidak semestinya akan datang saya jadi menteri atau sebagainya tapi yang penting saya boleh menyumbang kepada daerah saya iaitu Paitan dan DUN Sugut khususnya dan egeri Sabah keseluruhannya.
“Saya akan menyumbangkan satu kerusi, insyaAllah untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kepada Ketua Menteri sekiranya diberi peluang untuk dicalonkan,” katanya.
Ditanya kemungkinan ada calon lain di kerusi berkenaan, James mengakui memang ramai yang berminat untuk menjadi calon, namun kejayaan mereka bergantung kepada kemampuan masing-masing.
James mula menyandang kerusi DUN Sugut selepas memenanginya buat kali pertama atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013, disusuli pada PRU 2018 juga atas tiket BN.
Bagaimanapun, pada 2018, beliau meninggalkan UMNO dan BN lalu menyertai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), namun hanya seketika sebelum kembali ke pangkuan UMNO dan dicalonkan sekali lagi atas tiket BN pada PRN16 Sabah, pada September 2020. – Info X