Search

ECoS pantau penjualan peralatan elektrik tiada label keselamatan

January 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Masih ada peralatan elektrik pengguna yang dijual di negeri ini tidak mempunyai label keselamatan ECoS-SIRIM atau ST-SIRIM dan Label Penarafan Kecekapan Tenaga ECoS.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Pemantauan Energy Commission of Sabah (ECoS), Muhammad Azuan Zainuddin, berkata perkara itu dikesan ketika Operasi Pemantauan Bersepadu Kelengkapan Elektrik (OPS KLIK) ECoS bersama SIRIM QAS International Sdn Bhd di beberapa kedai yang menjual kelengkapan elektrik pengguna di Putatan, baru-baru ini.

Katanya operasi itu mendapati masih ada peralatan elektrik pengguna termasuk kipas elektrik, cerek elektrik, ketuhar elektrik, mentol lampu, soket sambungan, kabel pendawaian dan palam kuasa tidak mempunyai label
keselamatan ECoS-SIRIM atau ST-SIRIM dan Label Penarafan Kecekapan Tenaga ECoS.

Sehubungan itu, katanya ECoS menasihati penjual peralatan elektrik pengguna di negeri ini supaya hanya menjual peralatan yang diiktiraf ECoS atau Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) dari aspek keselamatan.

“Ramai penjual tidak menyedari risiko keselamatan kepada orang awam akibat daripada penjualan kelengkapan elektrik pengguna tanpa kelulusan ECoS dan ST.

“Ia boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan juga membahayakan nyawa,” katanya.

Pegawai ECoS dan SIRIM memeriksa peralatan elektrik tanpa label keselamatan.

Katanya, kebanyakan kelengkapan elektrik pengguna yang tidak berlabel menjadi pilihan orang awam berikutan harga yang lebih murah berbanding dengan kelengkapan yang mendapat kelulusan ECoS atau ST.

“Label keselamatan ECoS-SIRIM dan ST-SIRIM adalah penting untuk membuktikan bahawa sesuatu kelengkapan elektrik pengguna telah diperiksa dan diuji mengikut piawaian yang telah ditetapkan serta lebih selamat untuk digunakan berbanding dengan kelengkapan elektrik pengguna yang tidak berlabel,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi ECoS, Ridwan Saham, berkata, OPS KLIK adalah satu inisiatif penting ECoS untuk memberi pendedahan kepada penjual kelengkapan elektrik pengguna di Sabah mengenai tanggungjawab ECoS.

Katanya ia berkaitan tugas mengawal selia aktiviti penjualan untuk memastikan kelengkapan elektrik pengguna yang dijual memenuhi kehendak Enakmen Bekalan Elektrik (EBE) 2024 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik (PPBE) 2024.

Enakmen itu, jelasnya memperuntukkan hanya kelengkapan elektrik pengguna yang telah diluluskan dan dilabel dengan Label Keselamatan ECoS-SIRIM, ST-SIRIM dan Label Penarafan Kecekapan Tenaga ECoS boleh dijual kepada orang awam.

Beliau berkata, kegagalan mematuhi Peraturan 107 dan Peraturan 111(3) di bawah PPBE 2024 boleh mengakibatkan kelengkapan elektrik terbabit disita, dibuang atau dialihkan selaras dengan Peraturan 110(2) dan Peraturan 113(2) di bawah PPBE 2024. – Info X