LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Lahad Datu menahan bot pukat jerut bilis bersama tiga nelayan di kedudukan 0.8 batu nautika Timur Laut Kunak, Selasa lalu.
Bot bersama kru itu ditahan pasukan bot ronda APMM menerusi Op Pluto Timur 2/2013, kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Pengarah Maritim Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, pemeriksaan awal mendapati, bot berkenaan dikendalikan dua warga tempatan berusia 19 dan 44 tahun dan seorang warga Filipina berusia 53 tahun yang memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Bot berkenaan didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu memukat kurang dari 1.5 batu nautika dari daratan terhampir.
“Semua nelayan, bot dan hasil tangkapan seberat lima kilogram itu diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dzulfikhar berkata, APMM tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan insiden di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi Whatsapp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – Info X