KOTA KINABALU: Penyanyi popular, Velvet Aduk membuka tirai 2025 dengan sebuah single terbaru dalam bahasa Dusun bertajuk ‘Ogingol’ yang kini video muziknya sudah boleh ‘dinikmati’ di laman YouTube.
Difahamkan, lagu ‘Ongingol’ yang bermaksud cantik itu juga merupakan antara lagu dalam album Dusun pertama Velvet yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Susulan kejayaan album Inggeris Velvet pada 2024 yang bertajuk ‘Darkest Knight’, dia sekali lagi ingin mencabar dirinya untuk menulis dan menyanyi dalam bahasa ibundanya iaitu Bahasa Dusun.
Bagi Velvet, itulah cara dia untuk menghargai dan mempelajari bahasa ibundanya sendiri iaitu menerusi penulisan serta penggubahan lagu.
“Bahasa Dusun adalah bahasa yang sangat indah dan jika tidak dipelihara, ia mungkin akan lenyap suatu hari nanti,” katanya.
Velvet berkata, ‘Ogingol’ adalah lagu yang mungkin boleh dikaitkan dengan perasaan jatuh cinta namun penyampai stesen radio popular KUPIKUPI FM itu menyatakan yang ianya terpulang kepada interpretasi pendengar masing-masing.
Katanya, lagu berkenaan tidak akan berjaya tanpa Brandon Laurie dan Andy O’Mail yang telah memainkan peranan penting dalam penghasilan lagu ‘Ongingol’.
Menurutnya Brandon merupakan ‘co-arranger’ untuk lagu ‘Ongingol’ dan selain itu, Velvet juga telah mendapat bimbingan daripada ibu serta ibu saudaranya iaitu Mary Golingi dan Irene Golingi, dari segi penulisan lirik dalam bahasa Dusun.
“Ia bukanlah sesuatu yang mudah bagi saya, sebab saya pun masih juga dalam fasa ingin belajar dan mendalami bahasa ini,” katanya lagi.
Lagu ‘Ogingol’ sudah dilancarkan di YouTube pada 17 Januari lalu, dan lagu itu juga boleh didengari di semua platform penstriman bermula 31 Januari depan.
Selain itu, katanya, versi karaoke bagi lagu ‘Ongingol’ juga akan dikeluarkan tidak lama lagi.
“(Lagu) ‘Ogingol’ hanyalah permulaan, saya tidak sabar untuk berkongsi lebih banyak karya pada masa akan akan datang, nantikan album terbaru Dusun saya yang akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya. – Info X