KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) merekodkan sebanyak lima kes keracunan makanan yang berpunca daripada toksin ikan buntal di negeri ini antara 10 Januari lalu hingga semalam.
Pengarah JKNS, Dr Maria Suleiman, mengesahkan satu kes dilaporkan di Kota Kinabalu pada 10 Januari lalu, manakala empat kes di Kota Marudu, semalam.
Katanya, mangsa kes itu yang berumur antara 15 hingga 48 tahun melaporkan gejala pening, muntah, cirit-birit, kebas pada tangan dan kaki serta kesukaran bernafas selepas memakan ikan buntal yang dibeli dari pasar dan dimasak sendiri.
“Kesemua kes sudah mendapatkan rawatan awal di hospital. Daripada lima kes yang dilaporkan, tiga kes sudah dibenarkan pulang setelah mendapatkan rawatan, manakala dua kes masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil.
“Tindakan kawalan dan pencegahan sudah dilaksanakan JKNS, termasuk pendidikan kesihatan kepada individu terbabit dan komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Kenyataan itu bagi menjelaskan mesej tular mengenai kes keracunan buntal yang berlaku di negeri ini.
Dr Maria berkata, ikan buntal atau pufferfish adalah spesies ikan yang mengandungi toksin saraf (neurotoksin) dikenali sebagai tetrodotoksin (TTX).
Katanya, selain ikan buntal, TTX juga terdapat dalam beberapa spesies laut seperti belangkas dan siput laut (Naticidae, Nassariidae), serta haiwan amfibia lain seperti katak beracun.
“Pencemaran TTX dalam makanan tidak dapat dikesan dengan mata kasar kerana tiada perubahan warna, bau dan bentuk terhadap makanan yang tercemar.
“Individu yang memakan makanan mengandungi TTX boleh mengalami gejala keracunan seawal 10 hingga 45 minit.
“Tanda-tanda keracunan termasuk kebas pada bibir, lidah dan muka, sakit kepala, pedih ulu hati, loya, cirit-birit dan atau muntah serta kelumpuhan otot penting seperti otot pernafasan,” katanya.
Beliau berkata, dalam kes yang teruk, kematian boleh berlaku dalam tempoh enam hingga 24 jam.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya mengelak pengambilan makanan yang disyaki mengandungi TTX kerana boleh membahayakan kesihatan.
“Jika mengalami gejala awal keracunan, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan.
“Bahan pendidikan mengenai bahaya TTX, termasuk risiko keracunan dan langkah-langkah pencegahan boleh didapati di laman web Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan laman media sosial Facebook KKM,” katanya.
Beliau berkata, JKNS akan terus memantau situasi keracunan dihadapi mangsa dan memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa. – Info X