Search

Warga asing rogol kanak-kanak 9 tahun diberkas polis

January 25, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Tiada hati perut. Itulah gambaran seorang lelaki warga asing yang tergamak merogol bekas anak tirinya yang baru berusia sembilan tahun.

Malah, suspek berusia 32 tahun turut mengancam mencederakan dan membunuh mangsa sekiranya bekas isterinya membuat laporan polis.

Bagaimanapun suspek berjaya ditahan polis selepas bekas isteri suspek berusia 30-an membuat laporan di Balai Polis Kalabakan, pada jam 10.15 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil laporan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Kalabakan menjalankan operasi di sebuah bangunan ladang di kawasan Kalabakan dan memberkas suspek kira-kira jam 6 petang hari yang sama.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek telah melakukan jenayah seksual terhadap mangsa sejak beberapa bulan yang lalu.

“Suspek turut memberi ancaman kepada bekas isterinya bahawa dia (suspek) akan mencederakan dan membunuh anak mereka sekiranya wanita itu melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa sebelum ini telah dijaga oleh bapa tirinya menceritakan kejadian itu kepada ibunya pada 20 Januari lalu di rumahnya.

“Suspek ditahan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” katanya.

Sementara itu, Jasmin berkata orang ramai diminta supaya sentiasa peka terhadap isu keganasan domestik dan penderaan terhadap kanak-kanak.

“Orang ramai juga turut digesa jika mempunyai maklumat mengenai jenayah seperti ini agar segera melaporkan kepada pihak polis,” katanya. – Info X