Search

7 laluan ditutup akibat banjir, tanah runtuh

January 30, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tujuh laluan tidak dapat dilalui sebarang jenis kenderaan berikutan banjir dan tanah runtuh di lima daerah, setakat pagi ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata laluan terbabit ialah di Kota Marudu, Kota Belud, Telupid, Pitas dan Keningau.

Katanya, di Kota Marudu, laluan yang ditutup ialah di Kilometer (KM) 0.0 – KM 0.5 Jalan Rakit dan KM 0.0 – KM 0.9 Jalan Damai akibat dinaiki air, manakala KM 6.4 Jalan Marak Parak ditutup akibat tanah runtuh.

“Di Kota Belud, laluan yang ditutup setakat ini ialah di KM 2.8 – KM 3.0 Jalan Sumbilingon – Pituru Laut akibat banjir.

“Satu cerun runtuh pula dilaporkan berlaku di KM 1.1 Jalan Telupid – Tongod di Telupid menyebabkan laluan berkenaan tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan.

“Bagaimanapun, ada jalan alternatif yang boleh dilalui untuk ke Tongod iaitu Jalan Tapang – Singgahmata,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, di Pitas, satu laluan ditutup akibat banjir setakat ini iaitu di KM 4.4 Jalan Pinapak, manakala di Tenom laluan di KM 3.4 Jalan Tenom Batu 28 Mempikit akibat tebing runtuh.

Katanya, pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati laluan berkenaan sangat berbahaya dan tidak selamat dilalui kenderaan.

Shahelmey berkata, sebanyak 49 laluan lagi dikenal pasti terjejas akibat banjir dan tanah runtuh kecil di seluruh negeri, namun masih dibuka dan boleh dilalui kenderaan.

“Laluan yang paling banyak terjejas ialah di Kota Marudu iaitu sebanyak 16 laluan, diikuti Kota Belud dan Beluran, masing-masing sebanyak sembilan laluan.

“Selebihnya sebanyak lima laluan di Kinabatangan, masing-masing tiga laluan di Lahad Datu, Ranau, Keningau dan Pitas, dua laluan di Telupud serta masing-masing satu laluan di Beaufort, Sandakan dan Paitan,” katanya.

Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan banjir, selain tanah runtuh dengan seramai 2,260 mangsa banjir daripada 719 keluarga dipindahkan di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) di 10 daerah di Sabah setakat pagi ini. – Info X