KOTA KINABALU: Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di 10 daerah di negeri ini meningkat kepada 5,391 orang setakat jam 6 pagi ini berbanding 4,383 malam tadi.
Jumlah itu membabitkan sebanyak 1,820 keluarga yang kini berada di 36 PPS di Kota Marudu, Pitas, Paitan, Beluran, Telupid, Tongod, Sandakan, Lahad Datu, Beaufort dan Kota Belud.
Berdasarkan laporan Sekretariat Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kota Marudu kekal merekodkan mangsa tertinggi seramai 2,864 orang daripada 1,061 keluarga di sembilan PPS.
Ia diikuti daerah Pitas dengan seramai 768 mangsa daripada 261 keluarga di lima PPS, Lahad Datu (443 mangsa, 121 keluarga, tiga PPS), Telupid (413 mangsa, 110 keluarga, lima PPS) dan Beluran (196 mangsa, 61 keluarga, tiga PPS).
Selebihnya di Kota Belud (297 mangsa, 88 keluarga, empat PPS), Sandakan (118 mangsa, 28 keluarga, satu PPS), Beaufort (107 mangsa, 29 keluarga, satu PPS), Tongod (54 mangsa, 13 keluarga, satu PPS) dan Paitan (131 mangsa, 48 keluarga, empat PPS). – Info X