KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menawarkan diskaun saman sehingga 30 peratus bagi saman terpilih yang dikeluarkan dalam daerah ini sahaja.
Pembayaran kompaun saman boleh dibuat di kaunter bayaran trafik IPD Kota Kinabalu, selepas mendapat kelulusan Ketua Polis Daerah, bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang, kecuali cuti hujung minggu dan cuti umum.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, tawaran pengurangan kompaun saman berkenaan tidak termasuk saman yang membabitkan sabutan di mahkamah.
“Selain itu, saman Ops Selamat, kesalahan-kesalahan utama yang dilakukan pada kenderaan utama yang dilakukan pada kenderaan berat, kesalahan pengubahsuaian ekzos kenderaan dan saman trafik lain yang tidak boleh dikompaun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, Kasim menyeru orang ramai untuk mengambil peluang tawaran kompaun ini bagi menyelesaikan saman tertunggak.
Katanya, ini sekali gus meringankan beban kepada yang tidak berkemampuan untuk menyelesaikan saman masing-masing. – Info X