Search

Keningau dilanda banjir

February 5, 2025

Info X Reporters

KENINGAU: Beberapa lokasi di daerah ini termasuk di pekan dilanda banjir kilat, malam tadi.

Beberapa premis perniagaan dan jalan raya utama di pekan berkenaan serta stesen minyak turut dinaiki air.

Selain itu, beberapa kampung dilaporkan turut terjejas akibat banjir kilat berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerusi kenyataan media malam ini memaklumkan pasukan bomba sedang memantau keadaan banjir di kampung yang terbabit seterusnya menjalankan operasi pemindahan mangsa.

“Setakat ini, sebanyak tujuh kampung yang terjejas banjir iaitu Kampung Bariawa Laut, Kauran, Kadalakan, Bakiau, Lingkudau.

“Turut terjejas, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Anggerik, Kampung Patikang Ulu dan Kampung Agudon,” katanya.

Menurutnya, maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Sementara itu, terdapat beberapa video tular menunjukkan keadaan banjir di kawasan pekan Keningau dan beberapa rumah penduduk yang dinaiki air.

Kejadian banjir berlaku susulan hujan lebat sejak petang tadi dan difahamkan ia kejadian pertama banjir kilat melanda pekan Keningau. – Info X