KENINGAU: Seramai 20 penduduk dari beberapa kawasan di daerah ini dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat sejak malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, semua mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Masyarakat Keningau.
Katanya, pasukan bomba sedang memantau keadaan banjir di kawasan yang terbabit.
“Setakat ini sebanyak 15 kampung dilaporkan terjejas akibat banjir kilat sejak malam tadi dan antara kampung yang terjejas iaitu Kampung Bariawa Laut, Kauran, Kadalakan, Bakiau.
“Turut terjejas Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Kampung Patikang Ulu, Agudon, Gunsanad, Masak, Banjar, Lingkudau, Belibi, Kota Ayangan, Taman Andika dan Taman Khong Lok,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, setakat ini satu PPS dibuka di Dewan Masyarakat Keningau.
“Keadaan banjir dilaporkan semakin surut dan terkawal.
“Bagaimanapun pasukan bomba masih membuat pemantauan di lokasi banjir dan menasihatkan orang awam untuk berpindah ke kawasan selamat,” katanya. – Info X