Search

1,223 mangsa banjir masih di PPS, Beaufort paling ramai

February 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 1,223 mangsa banjir daripada 382 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini dengan jumlah paling ramai di Beaufort setakat pagi ini.

Daerah itu merekodkan seramai 689 mangsa daripada 227 keluarga yang dipindahkan ke tiga PPS, diikuti seramai 282 mangsa daripada 72 keluarga di dua PPS di Kinabatangan.

Sementara itu, di Membakut, seramai 252 mangsa daripada 83 keluarga dipindahkan di satu PPS di daerah itu setakat pagi ini.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, tiga PPS kini beroperasi di Beaufort berikutan pembukaan Dewan DSP Dun Banir, semalam.

Operasi pemindahan mangsa banjir di Membakut turut dibantu anggota tentera.

Dua lagi ialah PPS Selagon dan Dewan Bisaya.

Beaufort merekodkan peningkatan mangsa banjir yang ketara sehingga semalam berikutan situasi banjir yang belum reda akibat limpahan air Sungai Padas yang melebihi paras bahaya.

Semalam sebuah PPS di Tambunan ditutup selepas situasi banjir di daerah itu dilaporkan pulih sepenuhnya, menjadikan hanya tiga daerah masih berdepan bencana banjir ketika ini iaitu Beaufort, Kinabatangan dan Membakut. – Info X