PAPAR: Seorang lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya di sebuah ladang di Bongawan, dekat sini, akhir bulan lalu.
Tertuduh, Risdi Baharuddin, 26, didakwa di hadapan Majistret Abdurrahman Abrar Jarni menerusi prosiding secara Zoom.
Pendakwaan dikendalikan Inspektor Rosmanuri Salleh terhadap tertuduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan diambil daripada tertuduh berikutan kes terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mahkamah menetapkan 11 Mac depan untuk sebutan semula.
Siasatan kes itu dilaksanakan Pegawai Penyiasat Polis, Inspektor Desmond Tanggapan.
Pada 31 Januari lalu, seorang lelaki warga Indonesia ditahan selepas dilapor menikam rakan sekerjanya, seorang warga Filipina berumur 37 tahun dalam satu pertengkaran di sebuah ladang kelapa sawit di Ulu Lumagar, Bongawan.
Berdasarkan laporan polis, pertengkaran berlaku selepas mangsa bertanya mengenai wang RM20 yang diberi isterinya kepada tertuduh untuk membeli ikan dan roti.
Suspek dikatakan tidak membeli barangan yang diminta isteri mangsa dan wang yang diberikan itu juga tidak dikembalikan.
Bagaimanapun, suspek tidak mengakui dakwaan itu dan enggan mengembalikan wang berkenaan sebelum berlaku pertengkaran.
Ketika pertengkaran, suspek dikatakan masuk ke rumahnya dan mengambil sebilah pisau kecil sebelum menikam mangsa berkali-kali hingga rebah. – Info X