KOTA KINABALU: Sebanyak 24 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di sekitar Kampung Likas, di sini, bagi meningkatkan pemantauan keselamatan di kawasan berkenaan.
Inisiatif Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau itu tertumpu di lokasi panas yang dikenal pasti di kampung berkenaan.
Ketua bahagiannya, Datuk Mohamed Razali Razi, berkata tujuan utama inisiatuf itu untuk membantu meningatkan tahap keselamatan penduduk di sekitar Kampung Likas.
“Inisiatif pemasangan CCTV ini dimulakan pada awal Januari lalu yang mana bagi fasa satu kita sudah pasang di Kampung Cenderamata 1.
“Proses pemasangan CCTV ini dilaksana dengan kerjasama ahli Gagasan Rakyat Cawangan bersama pemimpin setempat.
“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka atas kerjasama dan komitmen yang diberikan demi membantu meningkatkan keselamatan di kampung terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, selain Cenderamata 1, lokasi lain CCTV yang sudah dipasang ialah di Kampung Likas Lama; Simpang Sekolah Kebangsaan (SK) Likas; Jalan Muhibbah; Kampung Cenderamata 2; Lorong Lengkok; Lorong Diak Likas Lama dan Kampung Cempaka.
Razali berkata, pemasangan CCTV membantu meningkatkan tahap keselamatan termasuk berkaitan kes kecurian dan kemalangan.
Jelasnya, pemasangan CCTV akan diteruskan di tempat lain di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau. – Info X