Search

Joao Pedro ke Vietnam

February 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pasukan Sabah FC kehilangan tonggak utamanya menjelang pertemuan dengan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadiuam Likas, malam ini.

Pemain itu, Joao Pedro Boeira Duarte, menerima tawaran untuk menyertai kelab Ho Chi Minh City di Vietnam secara pinjaman.

Pengurus Besar Sabah FC, Mohd Joh Wid, berkata pihak pengurusan akur dengan pilihan penyerang dari Brazil itu selepas dia tetap dengan keputusannya.

Beliau berkata, pihaknya sudah memujuk Pedro supaya kekal bersama Sang Badak, namun pemain terbabit tetap mahu berpindah ke Vietnam.

“Sabah FC hari ini mengumumkan bahawa penyerang import dari Brazil, Joao Pedro Boeira Duarte akan menyertai Ho Chi Minh City FC sebagai pemain pinjaman.

“Keputusan ini dibuat setelah Joao Pedro menerima tawaran dari kelab Vietnam tersebut.

“Pihak pengurusan Sabah FC telah berusaha untuk memujuk beliau supaya terus bersama pasukan, namun Joao Pedro tetap dengan keputusannya untuk menerima tawaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Sabah FC bersetuju untuk melepaskan beliau setelah perbincangan dengan Ketua Jurulatih dan team kejurulatihan pasukan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Joao Pedro atas sumbangannya kepada Sabah FC. Kami mendoakan yang terbaik buat beliau dalam kariernya di Ho Chi Minh City FC,” katanya.

Pemain terbabit menyertai Sabah bermula 15 Ogos lalu melalui jendela perpindahan kedua musim 2024 / 2025 menerusi kontrak yang sepatutnya berakhir pada 30 April depan.

Pedro menggantikan pemain senegaranya, Ramon Machado de Macedo yang menamatkan kontrak lebih awal bersama Sabah. – Info X