TAWAU: Suami isteri berdepan detik cemas apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki dihempap kayu balak yang jatuh dari sebuah lori di Jalan Merotai-Kalabakan di sini, semalam.
Kejadian jam 4.30 petang Rabu itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan bagaimanapun kenderaan dinaiki mangsa mengalami kerosakan teruk.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Superintendent Champin Piuh berkata, siasatan mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan balak dipandu lelaki berusia 38 tahun dan pacuan empat roda dipandu lelaki 35 tahun bersama isterinya berusia 31 tahun.
“Ketika kejadian, lori muatan balak itu bergerak dari arah arah jalan Kalabakan-Merotai menuju Log-Pond manakala pasangan suami isteri dari arah pusat bandar menuju ke Luasong.
“Sebatang kayu balak tiba-tiba terjatuh dari muatan lori dari arah bertentangan dan menghempap bahagian hadapan pacuan empat roda berkenaan.
“Kejadian menyebabkan bahagian hadapan kenderaan berkenaan rosak teruk,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Champin berkata, kedua-dua pemandu tidak mengalami kecederaan, bagaimanapun, isteri pemandu pacuan empat roda yang sarat mengandung menerima rawatan di zon kuning Hospital Tawau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987 kerana memandu tanpa kecermatan hingga menyebabkan kemalangan,” katanya. – Info X