KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan harapan agar kerajaan pimpinannya diberi peluang untuk terus memerintah negeri ini selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Beliau berkata, banyak yang masih perlu dilakukan oleh kerajaan pimpinannya untuk memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat.
“Dengan hati dan minda yang terbuka, saya berharap kerajaan ini diberi peluang sekali lagi oleh rakyat untuk meneruskan pemerintahan di negeri ini.
“Jika kerajaan ini kembali memerintah, insyaAllah kita akan kekal bersama-sama menjayakan dan memperhebatkan lagi pelaksanaan Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ 1.0 akan menjadi Hala Tuju SMJ 2.0, demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat, sesuai dengan agenda untuk menjadikan Sabah negeri yang hebat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Ketua Menteri Bersama Penjawat Awam negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.
Katanya, agenda besar kerajaan pada hari ini ialah menjadikan Sabah sebuah negeri yang hebat dan cemerlang dalam pelbagai sektor pembangunan pada masa akan datang.
Jelasnya, kerajaan meletakkan suatu dasar yang jelas lagi komprehensif sebagai dasar yang terbaik untuk negeri dan seluruh rakyat.

“Dasar Hala Tuju SMJ yang kita cipta sesuai dengan keperluan dan kehendak semasa, ke arah kemajuan yang holistik dan kesejahteraan yang merangkumi setiap lapisan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, bagi menjayakan agenda memperhebatkan negeri, jalinan kerjasama dan persefahaman di antara pimpinan negeri dengan penjawat awam, perlu terjalin erat dan sentiasa diperkukuhkan.
“Begitu juga dengan hubungan akrab yang sedia terjalin di antara kerajaan begeri dengan Kerajaan Persekutuan.
“Hubungan yang diibaratkan seperti aur dengan tebing, bukan saja harus dikekalkan tetapi juga wajib diperkukuh lagi,” katanya.
Katanya, hubungan baik antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan membawa banyak manfaat dan faedah kepada rakyat Sabah.
Beliau berkata, pelbagai isu dan perkara bukan saja dapat dirundingkan bahkan dapat diselesaikan.
“Ini merangkumi isu-isu berkaitan perundangan dan akta, isu-isu mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan lebih penting lagi isu-isu berkaitan usaha sama atau kolaborasi di antara Kerajaan Negeri dengan PETRONAS,” katanya.
Hajiji mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota perkhidmatan awam negeri dan persekutuan, yang sejak hampir lima tahun ini sentiasa memberikan sokongan dan dokongan terhadap kepimpinannya.
“Di sebalik berbagai halangan dan rintangan yang saya hadapi, saya masih boleh berbangga kerana anda, warga penjawat awam tetap berdiri teguh di belakang saya hingga ke hari ini,” katanya.
Hajiji menzahirkan penghargaan kepada penjawat awam atas komitmen dan sokongan padu menjayakan agenda pembangunan negeri, termasuk mereka yang sedang mencurah bakti dalam sektor keselamatan, pendidikan dan kesihatan.
“Semoga negeri dan negara kita ini kekal aman dan sentosa, makmur dan sejahtera. Bersama kita kukuhkan tekad dan iltizam, menjayakan hasrat dan impian ke arah menjadikan Sabah negeri yang maju, makmur, aman dan sentosa,” katanya. – Info X