KOTA KINABALU: Kerajaan negeri diminta menimbangkan semula cadangan pembinaan pelabuhan bersepadu di Semporna dan mengambil kira kesesuaian daerah Kunak sebagai lokasi yang lebih strategik.
Exco Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Anil Sandhu, berkata pelbagai aspek perlu diambil kira sebelum meneruskan cadangan itu.
Katanya, pembinaan pelabuhan kurang sesuai dilaksanakan di daerah itu, sebaliknya infrastruktur marin itu lebih strategik jika dibina di Kunak.
“Saya ingin menarik perhatian semua pihak, terutama kerajaan negeri berkenaan cadangan pembinaan Pelabuhan Bersepadu di Semporna yang dibincangkan dalam mesyuarat sebelum ini.
“Perkara ini sudah dibincang pada tahun 2015 dan 2016 untuk dibuat di Kunak, tapi selepas pertukaran kerajaan semuanya terbantut.
“Saya ingin menyatakan bantahan dan ketidaksetujuan terhadap cadangan ini kerana saya berpandangan bahawa Semporna bukanlah lokasi yang sesuai atas beberapa faktor,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu itu, berkata antara faktor yang perlu diambil kira termasuk keadaan infrastruktur jalan raya ke Semporna yang kurang memadai untuk menampung peningkatan aliran trafik berat.
Jelasnya, kepadatan penduduk yang tinggi di daerah itu boleh menyebabkan masalah kesesakan dan ketidakseimbangan pembangunan jika cadangan berkenaan dilaksanakan.
“Fenomena ‘over tourism’ di Semporna ketika ini juga sudah memberi tekanan kepada ekosistem dan persekitaran setempat.
“Sebaliknya, saya mencadangkan agar pelabuhan itu dibina di Kunak, kerana daerah itu memiliki beberapa kelebihan.
“Antaranya, kedudukan Kunak yang lebih strategik dan berdekatan dengan Semporna serta daerah lain di Pantai Timur Sabah.
“Kunak juga memiliki kedalaman laut yang lebih sesuai untuk pembinaan pelabuhan dan operasi kapal besar,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Kunak juga mempunyai potensi ekonomi yang besar, yang dapat dimanfaatkan untuk merancakkan pertumbuhan industri dan perniagaan tempatan.
Katanya, pembinaan pelabuhan di Kunak juga boleh membuka peluang pekerjaan kepada 700 hingga 800 orang serta merangsang pembangunan ekonomi di daerah itu dan kawasan sekitarnya.
“Saya selaku anak jati daerah Kunak berharap kerajaan Sabah akan mempertimbangkan cadangan ini dengan serius demi kepentingan jangka panjang rakyat di Kunak.
“Rakyat di daerah ini amat dahagakan pembangunan dan dengan adanya pelabuhan ini di Kunak pastinya akan memberikan impak positif kepada pembangunan sosio ekonomi Kunak,” katanya. – Info X