KOTA KINABALU: Bantuan Wang Ihsan (BWI) untuk mangsa banjir disalurkan menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) berbanding melalui pihak berkuasa daerah atau kampung sebelum ini.
Menjelaskan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu susulan kerjasama di antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan pihak BSN.
Beliau berkata kaedah itu bagi memudahkan pembayaran bantuan, terutama kepada mangsa banjir yang tidak dapat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Jelasnya, BWI kepada mangsa banjir di seluruh negara baru-baru ini sudah diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diagihkan kepada mangsa yang berpindah ke PPS berdasarkan senarai lengkap yang direkodkan.
“Namun ada dalam kalangan mangsa banjir berkenaan yang tidak tinggal di PPS, maka mulai tahun ini pihak NADMA dan Kementerian Kewangan mengubah cara pengagihannya.
“Ia tidak lagi melalui sistem konvensional iaitu melalui Pejabat Daerah, Jawankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP).
“Setelah mengadakan rundingan, senarai mangsa-mangsa banjir yang dipindahkan itu akan mendapat bantuan wang ihsan melalui BSN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Persekitaran Kawasan Lido, Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick.
Ahmad Zahid berkata, menerusi kaedah itu mangsa bencana yang sudah disenaraikan boleh ke cawangan BSN berhampiran untuk menuntut BWI masing-masing.
Katanya, NADMA juga mengambil kira permintaan kerajaan Sabah dan Sarawak mengenai mangsa yang tidak berpindah tetapi kawasan mereka dilanda banjir.
“Dalam perkara ini kita melakukan beberapa urusan tatakelola untuk pengesahan bahawa mereka benar-benar mangsa banjir yang terjejas sewaktu musim Monsun Timur Laut (MTL).
“Kita akan dapatkan pengesahan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah mengenai perkara ini dan kita akan lakukan pengubahsuaian terhadap pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata, pengagihan wang bantuan melalui BSN itu juga sebagai satu usaha untuk mengelakkan ketirisan penyaluran bayaran BWI. – Info X