Search

PRN17: UMNO Sabah yakin akan kembali dominan

February 25, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO Sabah yakin parti itu dan Barisan Nasional (BN) keseluruhannya akan kembali dominan dalam arena politik Sabah selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN) nanti.

Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir, berkata perkara itu bukan mustahil kerana UMNO-BN pernah menjadi parti tunjang politik Sabah.

Katanya, keyakinan itu diperkuatkan lagi dengan gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu parti itu kembali dominan di negeri ini.

“Saya menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menegaskan bahawa UMNO-BN Sabah harus kembali menjadi parti dominan di negeri ini.

“Kenyataan itu bukan sekadar aspirasi tetapi ia satu seruan perjuangan yang mesti kita sahut dengan penuh keyakinan dan kesungguhan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ahli Parlimen Libaran itu berkata, UMNO-BN Sabah pernah menjadi tunjang politik yang membawa kestabilan dan pembangunan kepada rakyat di negeri ini.

“Kita yakin bahawa dengan kebangkitan semula semangat perjuangan, kekuatan jentera parti, serta sokongan rakyat, kita mampu mengembalikan kegemilangan itu,” katanya.

Katanya, PRN17 bakal menjadi titik penting dalam perjuangan UMNO-BN Sabah untuk mengorak langkah dengan lebih kukuh.

Beliau berkata, usaha kini giat dilaksanakan bagi memperkukuh akar umbi dan meyakinkan rakyat bahawa UMNO-BN masih menjadi wadah terbaik untuk membela kepentingan mereka.

“Jentera parti di seluruh Sabah sedang giat digerakkan dan saya yakin dengan kesatuan serta semangat juang yang tinggi, UMNO-BN akan kembali sebagai kuasa utama politik Sabah.

“Kita tidak akan berundur, kita tidak akan goyah, kerana perjuangan ini adalah demi rakyat dan negeri Sabah yang kita cintai.

“Kepada semua ahli dan penyokong UMNO-BN, ini adalah masa untuk kita bangkit bersama. Dengan kekuatan akar umbi, pengalaman kepimpinan dan hala tuju yang jelas, kita akan kembali sebagai parti dominan di Sabah,” katanya.

Pada sambutan ulang tahun ke-34 UMNO Sabah di Tawau, Ahad lalu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN antara lain menyatakan harapannya agar UMNO kembali menjadi parti yang dominan di Sabah. – Info X