Search

Peralatan uzur, bahaya, DBKK tutup taman permainan di Ujana Rimba Tropika

February 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Taman permainan kanak-kanak di Taman Ujana Rimba Tropika, di sini, ditutup bagi memberi laluan kerja menaik taraf peralatan taman, mulai hari ini, 28 Februari 2025.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan, berkata penutupan itu dibuat hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan nanti.

Katanya, kerja menaik taraf melibatkan penukaran set alatan permainan sedia ada yang dikenal pasti dalam keadaan uzur, kepada alatan permainan yang baharu jenis modular yang bersifat lebih moden, edukatif, tahan lama dan selamat untuk digunakan.

“Set alatan permainan baharu yang akan dipasang ini juga adalah bebas daripada ancaman kecederaan, mempunyai pengiktirafan SIRIM dan mematuhi piawaian keselematan yang telah ditetapkan.

“Sehubungan itu, tindakan penutupan sementara kawasan taman permainan kanak-kanak ini diambil sebagai langkah pencegahan agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini, sehingga boleh menyebabkan kemalangan dan kecederaan kepada pengunjung sepanjang tempoh menaik taraf ini,” katanya.

Pada November 2024, DBKK sudah mengambil tindakan serta-merta membuat pembaikan berskala kecil terhadap alatan permainan kanak-kanak di lokasi berkenaan susulan aduan orang awam berkaitan kerosakan yang dialami.

“Berdasarkan Laporan Pemeriksaan dan Penilaian Kerosakan (Damage Assesment), alatan permainan di Taman Ujana Rimba Tropika mengalami 80 peratus kerosakan secara keseluruhan bagi semua komponen.

“Kerosakan berpunca daripada kadar penggunaan yang tinggi dan kegiatan vandalisme. Selain itu, alatan permainan di taman permainan kanak-kanak ini sudah digunakan melebihi tempoh 21 tahun iaitu sejak taman mula dibuka pada 2003.

“Sepanjang tempoh ini, DBKK telah menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala dan membuat pembaikan terhadap komponen yang rosak. Laporan itu mengesahkan alatan permainan di taman itu sudah uzur dan tidak selamat digunakan,” katanya.

Katanya, menjadi tanggungjawab DBKK untuk menyediakan persekitaran yang kondusif, khususnya di kawasan rekreasi seperti taman awam dengan penyediaan kemudahan dan fasiliti taman yang selamat dan berfungsi.

Justeru itu, katanya penggantian alatan permainan yang rosak atau uzur adalah seiring dengan usaha DBKK untuk meningkatkan keselamatan di taman awam jagaannya. – Info X