Search

Jeritan jiran selamatkan penghuni mangsa kebakaran

March 1, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: “Kalau bukan jeritan jiran yang melaungkan api kebakaran, kami sekeluarga mungkin menjadi mangsa korban dalam insiden pagi tadi.”

Itu kata-kata yang dapat digambarkan salah seorang mangsa kebakaran di Kampung Cempaka, Likas, yang melibatkan kira-kira 80 rumah yang musnah sepenuhnya.

Menceritakan detik cemas itu, mangsa yang bekerja sebagai buruh kasar, Alfadra Datu Ahmad Madja, 37, berkata, dia bersyukur kejadian itu tidak membabitkan sebarang kecederaan ataupun kemalangan jiwa walaupun tinggal sehelai sepinggang.

Katanya, sebaik selesai solat subuh, dia terkejut apabila terdengar jeritan penduduk kampung yang memaklumkan penduduk supaya menyelamatkan diri masing-masing.

Alfadra melihat keadaan rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Cempaka, Likas, Kota Kinabalu.

“Saya terdengar orang berteriak di luar rumah dan apabila meninjau dari tingkap, saya melihat beberapa rumah berhampiran sudah terbakar.

“Saya segera mengejutkan orang rumah rumah iaitu isteri, anak dan mentua saya untuk keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Alfadra berkata, dia bersyukur kerana semua dokumen penting yang disimpan di dalam beg sempat dibawa keluar.

Bagaimanapun katanya, mereka sekeluarga buntu dan masih terkejut memandangkan hanya keluar sehelai sepinggang dan tiada barangan lain dapat diselamatkan.

Sementara itu, seorang lagi mangsa kebakaran, Nurmina Abdul Rahim, 36, berkata, dia tersedar apabila dikejutkan oleh anak perempuannya yang berusia 15 tahun.

Nurmina Abdul Rahim bersama anaknya di pusat pemindahan sementara di Likas.

Katanya, sebaik keluar dari rumah, api sudah membakar belakang rumah jiran dan terus mengetuk pintu mereka.

“Saya mengetuk pintu sekuat-kuatnya agar mereka sekeluarga tersedar dan menyelamatkan diri.

“Jiran mempunyai seorang anak yang masih bayi. Syukur kerana dimaklumkan mereka juga sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran ini,” katanya.

Dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 5 pagi tadi, sebanyak 80 rumah dilaporkan musnah terbakar membabitkan 669 mangsa dari 139 keluarga.

Difahamkan, kebakaran melibatkan kawasan penempatan setinggan seluas kira-kira 250 meter persegi. – Info X