KOTA KINABALU: Parti Warisan akan menyemak semula semua kontrak berkaitan pelaksanaan sistem letak kereta digital atau e-parking di antara kerajaan dan syarikat penyedia sistem.
Setiausaha Warisan Kota Kinabalu, Loi Kok Liang, berkata semakan semula itu akan dilakukan jika Warisan kembali berkuasa selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 nanti.

Katanya, sebarang perjanjian yang tidak munasabah akan ditamatkan dan diganti dengan penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Dengan menyelesaikan isu ini, saya percaya kita dapat mengurangkan bayaran letak kereta secara signifikan dan mengurangkan beban kewangan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Dalam kenyataan itu, Kok Liang membangkitkan perbezaan sistem e-parking yang dilaksanakan di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan yang didakwanya menimbulkan kekecewaan kepada pengguna.
Beliau mengkritik kegagalan kerajaan memperkenalkan sistem letak kereta yang seragam memandangkan pendekatan ketika ini tidak praktikal dan membebankan pengguna.
Jelasnya, pengguna ketika ini terpaksa memuat turun dan menggunakan tiga aplikasi letak kereta yang berbeza hanya untuk membayar parking di kawasan greater Kota Kinabalu.
“Ini tidak masuk akal dan sangat tidak berpatutan. Tujuan digitalisasi adalah untuk menjadikan kehidupan kita lebih mudah, bukan semakin rumit.
“Kerajaan yang memahami seharusnya melaksanakan satu sistem e-parking yang seragam di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan bagi memudahkan pemandu.
“Ia sepatutnya dijadikan model untuk sistem letak kereta pada masa hadapan di seluruh Sabah,” katanya.
Beliau turut membangkitkan mengenai syarikat yang terbabit dalam pelaksanaan sistem e-parking itu yang didakwanya meminggirkan syarikat dari Sabah kerana semuanya dari Semenanjung.

“Adakah Sabah benar-benar tidak berkeupayaan menyediakan syarikat yang layak untuk projek ini? Atau ada sesuatu yang berlaku di belakang tabir?
“Sukar untuk tidak mengesyaki bahawa setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) mengutamakan kepentingannya berbanding keselesaan awam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan bertindak segera untuk menyeragamkan semua sistem e-parking di kawasan Kota Kinabalu dan sekitarnya di bawah satu paltform.
Beliau juga menggesa kerajaan melihat kesukaran ekonomi yang dihadapi rakyat Sabah dan menurunkan bayaran letak kereta di semua daerah bagi memastikan dasar awam yang mengutamakan kepentingan rakyat. – Info X