Search

KDM tidak akan undur, perjuangan diteruskan – Wetrom

March 4, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bertekad untuk meneruskan perjuangan parti itu meskipun Presidennya, Datuk Peter Anthony gagal dalam rayuan akhirnya berhubung kes mahkamah yang dihadapinya, hari ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Wetrom Bahanda, berkata keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen ke atas Peter sebelum ini, bukan satu penamat kepada perjuangan KDM.

Katanya, walaupun penyokong dan pemimpin KDM kecewa berikutan keputusan itu, mereka akan meneruskan perjuangan parti berkenaan, malah yakin KDM bakal tampil lebih kuat selepas ini.

“Sesungguhnya semua penyokong dan pemimpin KDM agak kecewa dengan keputusan ini, namun ia bukan bermakna perjuangan parti ini akan terhenti, malah kami bertekad untuk lebih bersemangat meneruskan perjuangan parti demi kesejahteraan masyarakat dan masa depan negeri Sabah.

“Tidak sesekali kami akan berundur ke belakang walau setapak, kami akan teruskan perjuangan ini, segala perancangan yang dibuat presiden dan pimpinan tertinggi parti akan diteruskan termasuklah perjuangan kami pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu menyeru kepada semua penyokong KDM di seluruh negeri supaya terus memberikan sokongan padu kepada parti berkenaan.

“Saya bersama Pimpinan Tertinggi dan semua pimpinan KDM di semua peringkat akan terus berjuang bersama anda semua.

“Kami sudah menempuh pelbagai rintangan termasuk apa yang berlaku pada hari ini, kami akan terus hadapi apa jua rintangan dan cabaran pada masa hadapan, demi negeri yang kita cintai ini,” katanya.

Wetrom berkata, satu mesyuarat Pimpinan Tertinggi KDM akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan halatuju parti seterusnya. – Info X