Search

Penunggang motosikal maut dilanggar lari di Jalan Gayang

March 5, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar lari sebuah kenderaan dalam kejadian di Jalan Gayang, di sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira 6.30 pagi itu mengorbankan mangsa lelaki berusia 57 tahun akibat kecederaan parah di kepala dan seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Benelli dipercayai dilanggar oleh sebuah kenderaan.

Katanya, pemandu kenderaan terbabit telah melarikan diri dari lokasi kemalangan.

“Polis sedang giat mengesan pemandu yang melarikan diri dari lokasi kemalangan itu.

“Setakat ini beberapa individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini boleh menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat trafik IPD Tuaran, Inspektor Haffiz di talian 01161600964.

“Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. Orang ramai juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan berhemah ketika di jalan raya

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X