KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik cadangan menawarkan Program Pendidikan Bahasa Kadazandusun di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud, berkata cadangan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau, itu adalah usaha yang baik bagi memperkasa bahasa etnik negeri ini.
“Bagi pihak KPT kita sentiasa komited untuk terus memperkasa bahasa etnik terutama di Sabah.
“Cadangan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Tuaran agar Program Pendidikan Bahasa Kadazandusun ditawarkan di UMS adalah sangat baik.
“Ia akan akan memudahkan kepada pelajar-pelajar dari Sabah untuk menyambung pengajian,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat.
Terdahulu Madius ketika menyampaikan ucapan perbahasan Peringkat Jawatankuasa di bawah KPT menyarankan agar KPT menawarkan Program Pendidikan Bahasa Kadazandusun (BKD) di UMS.
Katanya, pada ketika ini UMS juga ada menawarkan program Bahasa Kadazandusun kepada pelajar yang berminat.
“Kursi Kadazandusun juga telah wujud sejak sekian lama di universiti ini.
“Bagaimanapun, Program Pendidikan Bahasa Kadazandusun bagi guru-guru bahasa BKD masih belum ada, dan kita mencadangkan agar program itu diperluas ke UMS seperti yang ditawarkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” katanya. – Info X