Search

DBKK arah pemilik premis buat ujian struktur bangunan

March 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengarahkan pemilik premis di Kompleks Segama, di sini, menjalankan ujian integriti struktur bangunan berikutan kejadian lantai runtuh di salah satu bangunan di kawasan itu pada Jumaat lalu.

Ketua Pengarahnya, Lifred Wong, berkata arahan itu dikeluarkan kepada pemilik premis atau lot bangunan yang berhampiran dengan lokasi kejadian runtuh itu bagi memastikan sama ada bangunan yang diduduki mereka selamat atau sebaliknya.

Katanya, ujian itu diutamakan di lot bangunan di kawasan berkenaan sebelum perkara sama diminta dilakukan di blok bangunan yang lain, terutama lot bangunan yang kelihatan usang.

“Paling penting kita minta ujian integriti struktur bangunan dibuat di lot yang berdekatan barulah kita minta yang lain (bangunan lain).

“Pada tahun lalu kita sudah mengeluarkan banyak notis mengenai perkara ini, terutama bangunan yang tidak diselenggara atau bangunan usang,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Pejabat Parlimen Kota Kinabalu, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin dan Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 8 malam Jumaat lalu, seorang wanita cedera parah akibat dihempap konkrit selepas lantai tingkat satu sebuah bangunan kedai di Kompleks Segama, tiba-tiba runtuh.

Runtuhan itu membentuk satu lubang besar di lantai tingkat satu bangunan terbabit, manakala kejadian dipercayai berlaku akibat struktur lantai yang lemah disebabkan faktor usia bangunan.

Mengulas lanjut, Lifred berkata sebelum kejadian itu tiada tanda yang menunjukkan struktur lantai bangunan terbabit tidak selamat dikesan di lokasi terbabit.

Bagaimanapun, katanya mana-mana lot bangunan yang dikesan tidak diselenggara akan dikeluarkan notis untuk melakukan penyelenggaraan dan ujian struktur, terutama bangunan usang.

“Kita juga ada undang-undang kecil berkaitan dengan perkata ini tetapi biasanya kita akan minta pemilik bangunan untuk menjalankan ujian struktur bangunan.

“Ujian itu sepatutnya dibuat dari semasa ke semasa dan bangunan usang mesti buat ujian ini. DBKK akan teruskan pemberian notis bagi memastikan keselamatan bangunan di bandar raya ini,” katanya.

Sementara itu, Foong Hin, berkata faktor usia bangunan yang sudah mencecah hampir 50 tahun, selain kelemahan bahan binaan bangunan mungkin menjadi punca kejadian lantai runtuh di bangunan terbabit.

“Bangunan di kawasan itu dibina sejak 1970-an dan pada masa itu mungkin ada kelemahan bahan binaan.

“Sebab itu DBKK pada tahun lalu meminta pemilik premis membuat ujian struktur bangunan untuk memastikan keselamatannya.

“Cuma, ada yang sudah buat dan ada yang belum melaksanakannya. Jadi kita minta pemilik bangunan menjalankan ujian itu demi keselamatan awam,” katanya. – Info X