LAHAD DATU: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyatakan pendirian Warisan untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
Presiden Warisan itu berkata, walaupun pelbagai spekulasi dan khabar angin timbul mengaitkannya dengan parti lain, pihaknya lebih selesa bertanding sendiri.
Jelasnya, tiada sebarang kerjasama di antara Warisan dengan mana-mana parti, setakat ini.
Beliau juga yakin parti berbilang kaum itu mampu mengulangi sejarah Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang pernah memenangi pilihan raya bersendirian sebelum ini.
“Kita nyatakan tidak pernah ada perbincangan atau keputusan bergabung dengan mana-mana parti. Setakat ini Warisan, kita akan bertanding secara solo.
“Kita tawarkan keupayaan kita, mungkin kita tidak banyak duit, tapi kita pemimpin orang Sabah di sini, tidak kira bangsa, sama ada Kadazandusun Murut (KDM), Brunei, Kedayan, Bajau, semuanya di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf di Masjid Daerah Kecil Tungku, di sini, malam tadi.
Ahli Parlimen Semporna dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu berkata jika berjaya membentuk kerajaan selepas PRN17, Warisan mampu membawa Sabah ke arah yang lebih baik.
“Kita menyatakan bahawa keupayaan kita untuk meletakkan Sabah dan rakyat Sabah di landasan yang sepatutnya,” katanya.
Sebelum ini, Warisan dilihat cenderung untuk bekerjasama dengan UMNO Sabah berikutan peranan kedua-dua parti itu dalam cubaan menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerusi ‘Langkah Kinabalu’ pada Januari 2023.
Selain itu, kedua-dua parti turut didakwa menjalin persefahaman mengenai agihan kerusi bagi mengelak pertembungan di antara calon UMNO – Barisan Nasional (BN) dan Warisan pada PRN17 nanti.
Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan pemimpin kedua-dua parti. – Info X