KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya 20 kawasan di Manggatal, dekat sini mengalami gangguan bekalan elektrik berpunca daripada seekor musang, pagi tadi.
Berdasarkan perkongsian di laman Facebook Sabah Electricity, kejadian berlaku pada jam 6.58 pagi tadi apabila seekor musang terkena renjatan elektrik di gang insulator Kampung Sinompuru.
Akibatnya, pengguna di beberapa kawasan mengalami gangguan bekalan elektrik, antaranya kawasan Klinik Kesihatan Menggatal, Jalan Kokol, Pemancar Telekom, SMK Bandaraya Dua, Kampung Sinompuru, Naalap dan Keliangau.
Turut mengalami gangguan bekalan elektrik ialah kawasan Pusat Tahanan Sementara Manggatal, Kampung Togung, Kokol, SK Kokol, Pemancar Celcom Kokol, Rest House Kokol dan Kasih Sayang Health Resort.
Kawasan lain yang turut terjejaa ialah Kamlung Sinagang, Tombongon 1 dan 2, SK Tombongon, Kampung Bongkud, Bambangan, Poring-Poring 1 dan 2, SK Poring-Poring serta sekitarnya.
“Gangguan bekalan disebabkan musang terkena pada Gang Insulator Kampung Sinompuru.
“Sabah Electricity amat menghargai kesabaran anda dan segala kesulitan amat dikesali,” katanya. – Info X