TUARAN: Pemasangan paip baharu bagi mengatasi masalah bekalan air di Kota Kinabalu dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong Dua, di sini, dijangka siap pada Jun depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata apabila siap, sebahagian penduduk di Kota Kinabalu yang menerima bekalan air dari LRA di Telibong bakal menikmati bekalan yang lebih stabil dan mencukupi.
Katanya, ketika ini LRA Telibong Satu dan Telibong Dua sudah siap dan mampu menjana sehingga 160 juta liter sehari (JLS) air bersih untuk kegunaan pengguna di Tuaran dan Kota Kinabalu.
“Sekarang ini hanya menunggu projek pemasangan paip dari loji di Telibong ke Kota Kinabalu dan saya dimaklumkan oleh Menteri Kerja Raya bahawa projek itu dijangka siap pada Jun depan.
“Apabila siap nanti, kita percaya tiada lagi masalah kekurangan bekalan air khususnya di Tuaran, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), sebahagian kawasan Kota Kinabalu, termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Seikhlas Budi, Sesuci Ramadan Anjuran Sabah Electricity Sdn Bhd bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sulaman dan Mukim Indai Tuaran di Dewan Terbuka Kampung Simpangan, Tuaran pada Rabu.
Turut hadir Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Ir Mohd Yaakob Jaafar.
Hajiji mengulangi keyakinannya terhadap usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini mampu menyelesaikan masalah air pada tahun ini.
Jelasnya, peruntukan RM300 juta yang disalurkan kerajaan persekutuan sebelum ini sedang dimanfaatkan untuk melaksanakan projek peningkatan kapasiti loji rawatan air (LRA) di seluruh negeri.
Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan sumbangan zakat kepada para asnaf dengan seramai 878 orang menerima sumbangan, masing-masing 500 orang menerima sumbangan daripada Sabah Electricity dan 378 orang lagi menerima sumbangan peribadi Hajiji.
Sementara itu, Masjid At-Taqwa Kampung Simpangan menerima sumbangan zakat sebanyak RM5000 daripada Sabah Electricity. – Info X