Search

Lelaki hilang ketika menangkap ikan ditemui lemas

March 13, 2025

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti menyelam untuk menangkap ikan di sungai Kampung Pirasan, di sini, ditemui lemas, pagi tadi.

Mangsa Md Affendy Mujah, 29, yang disedari hilang kira-kira jam 1.30 pagi tadi, berjaya ditemui selepas lebih tujuh jam oleh penduduk kampung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, mangsa ditemui oleh orang kampung kira-kira jam 08.30 pagi disekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Katanya, pasukan bomba bersama penduduk kampung kemudiannya mengangkat mangsa ke tepi sungai.

“Pasukan operasi kemudiannya menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu dalam kejadian pagi tadi, mangsa dikatakan hilang ketika melakukan aktiviti menyelam mencari ikan di kawasan sungai berkenaan.

Pasukan bomba bersama penduduk kampung mengangkat mangsa sebaik ditemui di sungai Kampung Pirasan, Kota Belud.

Muhammad Syazwan berkata, menurut pemanggil, mangsa bersama ahli keluarga melakukan aktiviti menyelam mencari ikan pada jam 1.20 pagi.

Bagaimanapun katanya, mangsa disedari hilang selepas tidak timbul 10 minit kemudian dan usaha mencari mangsa gagal.

“Bimbang dengan keadaannya, ahli keluarga mangsa terus menghubungi pihak bomba pada jam 2.19 pagi untuk mendapatkan bantuan.

“Sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan menggunakan kaedah Surface.

“Pencarian dijalankan pada jarak sekitar 200 meter dari kawasan mangsa dilaporkan hilang,” katanya. – Info X