KOTA KINABALU: Lima individu diberi notis kompaun kerana mengganggu penyu ketika menyelam di perairan Pulau Manukan, di sini, baru-baru ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew, berkata tindakan itu diambil Taman-Taman Sabah sebagai tindak balas selepas video rakaman perbuatan itu tular di media sosial.
Beliau berkata, tindakan juga diambil terhadap syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan aktiviti menyelam ketika insiden itu berlaku.
“Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah memandang serius kejadian gangguan terhadap seekor penyu di Pulau Manukan yang tular baru-baru ini.
“Tindakan yang dilakukan oleh individu dalam video berkenaan adalah tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan prinsip pemuliharaan hidupan marin yang ditekankan oleh Kerajaan Negeri Sabah.
“Kementerian melalui Taman-Taman Sabah telah mengambil tindakan tegas berdasarkan Enakmen Taman-Taman 1984 (Pindaan 2024) dengan mengeluarkan notis kompaun kepada lima individu yang terbabit dalam insiden itu dan kepada syarikat yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Christina mengingatkan semua pengendali pelancongan supaya memainkan lebih bertanggungjawab dalam memastikan pelancong serta kakitangan masing-masing mematuhi garis panduan dan peraturan yang ditetapkan.
Katanya, kesedaran dan pematuhan terhadap peraturan penting bagi memastikan ekosistem marin di Sabah terus terpelihara untuk generasi akan datang.
“Kerajaan Negeri Sabah kekal komited dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berkaitan hidupan liar dan ekosistem semula jadi, sama ada di dalam atau luar kawasan taman,” katanya.
Baru-baru ini, tular rakaman video menunjukkan seorang penyelam memegang seekor penyu sambil menunjukkannya kepada beberapa penyelam lain dipercayai dilakukan di perairan Pulau Manukan, di sini.
Beberapa pihak, termasuk Kelab Sabah Dive Squad mengecam tindakan tidak bertanggungjawab penyelam terbabit yang disifatkan sebagai tidak wajar kerana mengganggu haiwan marin yang ditemui ketika melakukan aktiviti selaman. – Info X