KOTA KINABALU: Seorang pejalan kaki maut ketika melintas jalan selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda di Jalan Lintas, berhampiran Iramanis, di sini, semalam.
Dalam kejadian 6.55 petang, mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an melintas jalan dari kiri ke kanan jalan sebelum dirempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, ketika kejadian Mitsubishi Triton dipandu lelaki berusia 20-an dalam perjalanan dari Kolombong menuju ke arah Kepayan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba seorang pejalan kaki bertindak menyeberang jalan dari arah kiri ke kanan jalan dan menyebabkan pemandu Mitsubishi Triton tidak sempat mengelak lalu melanggar pejalan kaki terbabit.
“Akibat daripada kemalangan itu, pejalan kaki terpelanting ke hadapan lalu jatuh di atas jalan raya. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemandu Mitsubishi Triton pula dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) untuk menerima rawatan kerana mengalami sakit di bahagian dada.
“Siasatan awal mendapati kecuaian disebabkan oleh pejalan kaki yang cuai melintas jalan dan menyebabkan kemalangan berlaku.
“Siasatan lanjut bagaimanapun masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Kasim mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas.
“Pejalan kaki pula diingatkan supaya sentiasa mengamalkan konsep melihat kiri dan kanan jalan sebelum melintas jalan, jika selamat, barulah melintas jalan,” ujarnya. – Info X