KOTA KINABALU: Seekor buaya tiba-tiba muncul di depan rumah ketika sebuah keluarga di Kampung Likas, di sini sedang bersahur awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, reptilia berkenaan pada mulanya disangka biawak sebelum disedari ia sebenarnya anak buaya berukuran kira-kira semeter panjang.
Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, mereka menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu untuk mendapatkan bantuan menangkap reptilia berkenaan.
Pegawai APM Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, sebaik menerima panggilan itu, sepasukan anggota terus dikerah ke lokasi kejadian bagi menangkap reptilia berkenaan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, penghuni rumah memaklumkan melihat seekor buaya berada di hadapan parkir halaman rumahnya.
“Pasukan operasi kemudian bergerak ke halaman dan buaya itu terus menyusup ke semak samun di belakang rumah melalui bawah kolong.
“Pasukan operasi kemudian melakukan pencarian dan menemui reptilia itu di sebalik pokok keladi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, anggota APM kemudian mengepung buaya itu dan melakukan penangkapan dengan menggunakan tali seterusnya menutup buaya dengan menggunakan kain.

“Buaya sepanjang kira-kira satu meter dengan berat 10 kilogram berjaya ditangkap dan seterusnya dibawa balik ke Pejabat APM Kota Kinabalu.
“Reptilia berkenaan kemudian telah diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – Info X