Search

Lelaki bawa rokok seludup ditahan polis

March 23, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki dan merampas rokok seludup yang disimpan di bahagian belakang van dipandu suspek dalam serbuan di Jalan Sin Onn Tiku, di sini, awal pagi semalam.

Serbuan jam 1.50 pagi itu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau merampas pelbagai jenis rokok mencecah ribuan ringgit.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas maklumat, pasukan serbuan menahan sebuah van dipandu seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun.

“Hasil pemeriksaan ke atas van itu menemui pelbagai jenis rokok seludup yang disimpan di bahagian belakang kenderaan berkenaan.

“Seorang lelaki yang juga pemandu van terbabit turut ditahan di lokasi serbuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jasmin berkata, suspek yang ditahan dipercayai bertindak sebagai penghantar barangan seludup dan sedang dalam siasatan bagi mengenal pasti rangkaian penyeludupan yang terbabit.

Rokok seludup yang dirampas polis di Jalan Sin Onn Tiku, Tawau.

“Nilai rampasan masih dalam proses penilaian, namun dipercayai mencecah ribuan ringgit berdasarkan jumlah kotak rokok yang ditemui.

“Suspek bersama kenderaan dan baranhan rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan tanpa kelulusan pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Jasmin berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan kerana ia bukan sahaja merugikan negara dari segi cukai, tetapi juga boleh membawa kepada aktiviti jenayah lain.

Justeru, katanya orang ramai digesa menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti penyeludupan di kawasan mereka bagi membanteras kegiatan haram ini. – Info X