KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menetapkan tarikh 2 April 2025 sebagai cuti ganti hari kelepasan am sempena sambutan Ulang Tahun Rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Menerusi satu kenyataan, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata hari kelepasan am TYT ialah pada hari Ahad, 30 Mac ini dan atas sebab itu, hari berikutnya ialah cuti ganti kelepasan am.
“Pada tahun ini, tarikh ulang tahun rasmi TYT Yang di-Pertua Negeri jatuh pada hari Ahad iaitu 30 Mac 2025, maka hari berikutnya akan menjadi cuti kelepasan am.

“Kerajaan Negeri menetapkan sekiranya hari berikutnya juga adalah hari kelepasan am, maka tarikh 2 April 2025 sebagai hari kelepasan am bagi Negeri Sabah sebagai tambahan kepada hari yang disebut dalam Jadual Pertama Ordinan Hari Kelepasan (Bab56),” katanya.
Perkara itu mengambil kira kemungkinan 31 Mac dan 1 April (Isnin dan Selasa) adalah cuti Hari Raya Aidilfitri jika anak bulan 1 Syawal kelihatan pada malam 30 Mac ini.
Jika dua tarikh itu adalah cuti umum, maka 2 April adalah cuti ganti Hari Ulang Tahun Rasmi TYT. – Info X