Search

Mercun, bunga api RM756,000 dirampas PPM

March 27, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa dokumen sah bernilai RM756,600 dalam serbuan di Jalan Penampang-Papar, Penampang, di sini, semalam.

Serbuan menerusi Op Taring Landai Khas dijalankan hasil intipan dan risikan terhadap premis berkenaan yang didapati melakukan aktiviti penyimpanan mercun dan bunga api tanpa lesen kebenaran yang sah.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, tujuan penyimpanan bahan letupan berkenaan dipercayai untuk diedarkan dan dijual ke pasaran sekitar Penampang dan Kota Kinabalu.

Anggota PPM menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas dalam operasi Op Taring Landai Khas di Penampang.

Katanya, dalam serbuan berkenaan, pasukan operasi turut menahan dua lelaki tempatan berusia 31 dan 50 tahun.

“Hasil pemeriksaan menemukan longgokan kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api di dalam stor dan suspek juga gagal mengemukakan sebarang lesen penyimpanan dan menjual mercun yang sah.

“Pasukan operasi terus menahan suspek dan merampas sebuah lori serta barang-barang iaitu pelbagai jenis mercun dan bunga api untuk tindakan lanjut,” katanya dalam ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Mercun dan bunga api tanpa dokumen sah dirampas PPM di Penampang.

Katanya, jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM 831,600 termasuk lori yang dirampas.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Akta Bahan Letupan 1957,” katanya. – Info X