Search

Sambutan rasmi harijadi TYT pada Jun, bukan 3 bulan – Dr Joachim

March 27, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam menafikan sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman diadakan selama tiga bulan bermula 30 Mac hingga Jun depan.

Membetulkan kekeliruan itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan berkenaan, berkata acara yang disusun bagi mengisi majlis sambutan berkenaan hanya akan diadakan pada Jun depan.

“Sambutan ini tidak akan berlangsung selama tiga bulan, sebaliknya, tujuh acara yang dirancang akan diadakan dalam tempoh satu bulan saja iaitu pada
Jun depan.

“Ini adalah berdasarkan keputusan Kabinet Negeri Sabah bahawa program rasmi bagi sambutan ulang tahun tahun ini akan diadakan pada 21 Jun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menerusi kenyataan terdahulu pada 25 Mac lalu, Dr Joachim berkata sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tun Musa Aman itu jatuh pada Ahad ini berdasarkan warta kerajaan negeri yang menetapkan tarikh 30 Mac sebagai hari kelepasan am bagi sambutan berkenaan.

Berdasarkan kenyataan itu, sambutan berkenaan berlanjutan sehingga Jun depan dengan empat daripada tujuh acara yang disusun akan berlangsung pada 21 Jun.

Kenyataan itu menimbulkan kekeliruan sehingga dijadikan isu kononnya sambutan hari jadi Tuan Yang Terutama (TYT) berlangsung selama tiga bulan.

Timbalan Presiden Parti Warisan, Datul Darell Leiking tampil mempersoalkan tempoh begitu panjang bagi sambutan berkenaan yang disifatkannya sebagai satu pembaziran wang rakyat.

Sementara itu, Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata acara sambutan kali ini sudah dikurangkan berbanding 12 acara pada sambutan tahun lalu.

“Peruntukan perbelanjaan juga dikurangkan sebanyak 30 peratus berbanding perbelanjaan pada 2024.

“Kesemua tujuh acara yang dianjurkan adalah acara yang lazim dilaksanakan sempena hari ulang tahun kelahiran rasmi TYT sama seperti pada tahun-tahun sebelum ini

“Saya berharap agar pencerahan ini jelas dan acara-acara ini tidak disalahertikan,” katanya. – Info X