Search

Sokong pakai lencana Jalur Gemilang

March 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Mohd Arif Tun Sakaran, menyokong pemakaian lencana Jalur Gemilang oleh murid dan pelajar sekolah bermula 21 April depan.

Beliau menyifatkan inisiatif kerajaan Persekutuan itu sebagai langkah yang positif bagi memupuk semangat patriotik generasi muda terhadap negara.

Sehubungan itu, beliau berkata pelaksanaannya wajar disokong semua pihak, khususnya ibu bapa kerana ia juga boleh dilihat sebagai satu cara untuk memperkenalkan imej murid dan pelajar Malaysia yang taat dan cintakan negara.

“Saya sangat menyambut baik pelaksanaan inisiatif ini oleh KPM, lebih-lebih lagi ia membabitkan semua murid dan pelajar serta warga pendidik di sekolah.

“Ini kerana sekolah adalah tempat kita mula menerapkan nilai murni dalam kalangan murid dan pelajar dan dalam perkara ini, kita melihat bagaimana untuk mendidik pelajar taat kepada negara.

“Semangat patriotisme juga boleh diterapkan melalui pemakaian lencana,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Khatam Al-Quran dan Sekampit Beras sempena Ramadan di Sekolah Menengah (SM) Maktab Sabah, di sini, pada Jumaat.

Katanya, inisiatif itu juga harus dikembangkan hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai satu usaha menyemarakkan semangat cintakan negara melalui pemakaian lencana.

“Saya percaya ia satu cara yang berkesan untuk memupuk semangat patriotik generasi muda dan saya berharap ia dapat dilancarkan serentak di semua sekolah kerana ia adalah sesuatu yang penting.

“Kita perlu terapkan lebih awal nilai-nilai patriotik dalam diri generasi muda bermula di sekolah rendah, menengah dan di peringkat pengajian tinggi juga,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SM Maktab Sabah, berkata sebagai ibu bapa, inisiatif itu memang patut disokong demi masa depan anak-anak sebagai pewaris negara.

Menerusi satu kenyataan sebelum ini, KPM mengumumkan langkah melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid dan pelajar di inatitusi pendidikan kelolaan KPM berkuat kuasa mulai 21 April depan. – Info X