KOTA KINABALU: Sempena sambutan Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi, syarikat minyak dan gas, Hibiscus Malaysia menghadirkan kegembiraan anak-anak yatim dan asnaf dari tiga rumah kebajikan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka, baru-baru ini.
Program berkenaan berlangsung di premis menjual pakaian Emadira, di sini, dengan lebih 80 kanak-kanak diraikan dan disumbangkan baju raya baharu.
Pada program itu, seramai 11 kakitangan Hibiscus Malaysia terlibat dalam menghadirkan kegembiraan serta senyuman kepada kanak-kanak berkenaan dengan memilih baju raya serta songkok buat kanak-kanak lelaki dan baju kurung buat kanak-kanak perempuan.
Tiga rumah kebajikan yang diraikan ialah Rumah Anak Yatim Darul Bakti Kota Belud, Rumah Putera Harapan Ranau dan Rumah Anak Yatim As-Sakinah, Papar.

Ketua Aset Operasi Hibiscus Petroleum Berhad (Sabah) Edmund Ang berkata, sumbangan berkenaan adalah daripada dana Zakat Wakalah kakitangan syarikat.
Beliau percaya, CSR berkenaan adalah bagi merapatkan lagi hubungan di samping memberi sokongan serta sumbangan kepada komuniti.
“Hari Raya adalah hari kegembiraan dan perpaduan, dan kami ingin memastikan kanak-kanak ini turut merasa kemeriahan perayaan ini.
“Melihat senyuman dan keterujaan mereka benar-benar sesuatu yang tak ternilai bagi kami,” katanya kenyataan, hari ini.

Terdahulu pada hari yang sama, kakitangan ‘offshore’ Hibiscus Malaysia juga turut mengadakan majlis iftar untuk 20 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Darul Bakti Kota Belud serta 20 pesakit thalassemia dari Persatuan Thalassemia Kota Belud.
Kakitangan dari krew ‘North Sabah’ itu mengadakan acara tahunan berkenaan hasil dari dana yang dikumpulkan oleh mereka sendiri.

Dalam pada itu, Edmund berkata, Hibiscus Malaysia kekal komited untuk memberi impak positif kepada komuniti dan berharap untuk terus menyokong golongan kurang berkemampuan melalui inisiatif-inisiatif yang bermakna. – Info X