Search

Beraya sambil mencuri, seorang wanita ditahan di Tawau

April 4, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang wanita ditahan selepas disyaki mencuri seutas rantai emas ketika berziarah sempena Hari Raya di sebuah rumah di Taman Pasadena, Batu 2, Jalan Datuk Chong Thien Vun, sini, semalam.

Kejadian itu disedari tuan rumah pada jam 3.45 petang, selepas mendapati rantai emas milik isterinya hilang dari tempat barang kemas itu disimpan selepas suspek bersama rakannya beredar dari rumah mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, susulan kejadian itu, pengadu segera membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

“Berdasarkan laporan itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya mengesan seorang wanita di sebuah rumah kayu di Batu 4, disyaki terbabit dengan kes curi berkenaan.

“Turut dirampas seutas rantai emas disyaki milik mangsa yang dicuri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, suspek berusia 26 tahun dan barang rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan.

“Sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda,” katanya. – Info X