Search

‘Kaamatan Untuk Semua’ tema sambutan Kaamatan 2025

April 4, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sambutan Pesta Kaamatan pada tahun ini yang bakal tiba tidak lama lagi bertemakan ‘Kaamatan Untuk Semua’, ‘Kaamatan For All’ atau ‘Kaamatan Montok Toinsanan’.

Tema itu diputuskan Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri bagi tahun ini yang wajib digunakan dalam semua bentuk penerbitan.

Menerusi satu kenyataan, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan selaku pengerusi jawatankuasa itu, berkata tema berkenaan wajib digunakan dalam segala bentuk penerbitan di media massa, media bercetak dan media sosial sepanjang sambutan Pesta Kaamatan 2025.

Sambutan Kaamatan pada tahun ini akan dilancarkan di Tambunan pada 1 Mei depan, disusuli sambutan di peringkat daerah sebelum acara kemuncak di Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang pada 30 dan 31 Mei depan.

Sebelum ini, Jeffery yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri mengumumkan sebanyak RM5 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi menjayakan sambutan Pesta Kaamatan pada tahun ini. – Info X