Search

Anak tipu barang kemas disamun, rupanya dijual untuk bayar hutang

April 5, 2025

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Bimbang dimarahi ibu selepas beberapa barang kemas dijual untuk membayar hutang, seorang wanita mereka-reka cerita kononnya disamun dua lelaki, semalam.

Tembelang wanita berusia 29 tahun itu terbongkar selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporan daripada ibu kepada wanita terbabit, pada jam 9.35 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan polis daripada seorang wanita berusia 49 tahun menyatakan dua lelaki tidak dikenali menaiki motosikal meragut anaknya di kawasan Pekan Tandek.

Katanya, susulan kejadian itu mengakibatkan anak pengadu cedera di badan dan hilang tiga bentuk gelang emas dan satu rantai emas 916.

“Pengadu kemudian membuat laporan untuk tindakan lanjut pihak polis. Susulan daripada maklumat diterima, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu membuat siasatan di tempat kejadian.

“Hasil temubual awal ke atas mangsa dan suaminya di Hospital Lotong Kota Marudu, mendapati bahawa mangsa mereka cerita kononnya disamun oleh dua lelaki tidak dikenali,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, tujuan mangsa mereka-reka cerita kerana gelang dan rantai emas telah digadai di kedai emas untuk membayar hutang.

“Kejadian ini masih disiasat oleh pihak polis dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman dan kredibiliti mana-mana pihak termasuk siasatan yang dijalankan.

“Orang ramai juga diseru untuk memberi kerjasama serta membantu pihak polis dalam usaha membanteras jenayah dengan menyalurkan sebarang maklumat melalui talian MERS 999 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X