KOTA KINABALU: Seorang pekerja binaan dilihat memanjat menara kren di sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan di Luyang, di sini, pagi ini.
Lelaki berusia lingkungan 40-an itu dipercayai ‘mengigau’ kerana mendakwa melakukan perbuatan itu tanpa sedar selepas bangun tidur subuh tadi.
Difahamkan, kelibat lelaki itu yang turut dilihat meniti palang kren pada ketinggian kira-kira 126 meter dari tanah kemudian dilaporkan kepada bomba bagi operasi menyelamat bermula kira-kira jam 7 pagi tadi.
Bagaimanapun, lelaki terbabit yang juga pekerja binaan di bangunan berkenaan turun sendiri dengan selamat sebelum mendakwa perbuatan itu dilakukan tanpa sedar selepas mendengar ‘bisikan’ yang membawanya hingga ke atas kren.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.57 pagi.
Katanya, sepasukan anggota bersama jentera kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak tiga kilometer dari balai bomba.
“Setiba di lokasi, lelaki itu berada di hujung kren di kedudukan atas bangunan yang dalam pembinaan.
“Selepas hampir setengah jam dipujuk, lelaki itu turun sendiri sebelum ditenangkan oleh anggota bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, lelaki itu tanpa sebarang kecederaan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada kemerbahayaan lain, operasi ditamatkan kira-kira jam 8.02 pagi,” katanya. – Info X