Search

UMNO Sabah cadang RCI siasat pemberian lesen cari gali

April 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO Sabah mahu sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diwujudkan bagi menyemak keseluruhan sistem pemberian lesen cari gali dan perlombongan di Sabah.

Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman, berkata perkara itu adalah antara tindakan yang perlu diambil berhubung isu rasuah yang dikaitkan dengan penerokaan sumber mineral di negeri ini.

Katanya, selain RCI, UMNO Sabah juga menyokong agar siasatan bebas dan menyeluruh dilakukaj Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap keseluruhan proses kelulusan lesen berkenaan.

“Kita juga mahu pembekuan serta-merta semua lesen cari gali yang dikeluarkan sejak 2023 sehingga siasatan selesai dan meminta penjelasan terbuka Ketua Menteri Sabah serta menteri yang terbabit secara langsung, bukan sekadar kenyataan media separuh masak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Cadangan UMNO Sabah itu berikutan pendedahan mengenai dakwaan pemberian Lesen Carigali Mineral kepada sebuah syarikat yang didakwa tidak mempunyai rekod kewangan kukuh dan tiada pengalaman dalam bidang eksplorasi.

Syarikat terbabit, Lincah Hebat Utama Sdn Bhd (LHU), dilaporkan menerima kelulusan untuk menjalankan aktiviti eksplorasi di kawasan seluas 17,600 hektar meliputi daerah Telupid, Beluran dan Ranau.

Datu Rosman mendakwa, syarikat itu dikaitkan dengan individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan rapat dengan tokoh politik tertentu dalam kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Pendedahan ini mencetuskan persoalan besar terhadap ketelusan dan integriti pentadbiran kerajaan negeri dalam menguruskan sumber asli milik rakyat Sabah.

“Bagaimana syarikat yang mengalami kerugian dan hanya menukar bidang perniagaan kepada ‘eksplorasi mineral’ selepas memohon lesen, boleh diberikan akses ke kawasan yang begitu luas?

“Tidakkah ini mengundang spekulasi bahawa lesen ini telah dianugerahkan secara tergesa-gesa untuk memenuhi agenda tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, kenyataan Ketua Menteri bahawa lesen itu hanya untuk eksplorasi dan bukan perlombongan hanyalah alasan teknikal yang tidak menjawab pokok persoalan sebenar iaitu soal kelayakan, kredibiliti dan ketelusan.

“UMNO Sabah ingin menegaskan bahawa hasil bumi Sabah bukan milik mana-mana individu atau kelompok elit politik. Ia adalah hak rakyat yang mesti diurus secara adil, telus dan bertanggungjawab.

“Jika benar kerajaan GRS tiada apa-apa yang mahu disembunyikan, maka mereka harus bersedia disiasat bukan berselindung di sebalik alasan prosedur,” katanya. – Info X