SANDAKAN: Polis menahan seorang lelaki warga asing susulan pergaduhan yang berlaku di tapak pesta ria, di sini, beberapa hari lalu.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek berusia 26 tahun ditahan untuk membantu siasatan lanjut.
Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 147, Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Seorang lelaki warga asing telah ditahan bagi membantu siasatan susulan rakaman video pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di laman sosial facebook.
“Bagaimanapun, sehingga kini, belum ada apa-apa laporan berkaitan kejadian itu diterima pihak polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, video pergaduhan membabitkan sekumpulan individu tular di media sosial, sejak beberapa hari lalu.
Dalam video berkenaan, semua individu terbabit dilihat bergaduh sesama sendiri dalam kesibukan pengunjung menghadiri pesta ria berkenaan. – Info X