KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat menahan dua vesel nelayan asing Vietnam yang ‘merompak’ hasil laut di perairan daerah ini, semalam membabitkan rampasan lebih RM4 juta.
kedua-dua vesel itu ditahan bot Cenderawasih 10 dan Adal 04 menerusi Op Khas Pagar Laut kira-kira 11 batu nautika timur laut Pulau Sibogor, pada jam 3.15 petang.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, kejayaan itu hasil maklumat awam yang diterima pihaknya.
Susulan itu, katanya dua bot yang sedang melaksanakan Op Kgas Pagar Laur digerakkan ke lokasi dan mengesan dua vesel nelayan asing Vietnam sedang leka menjalankan aktiviti perikanan haram.
“Ketika cuba dihampiri, suspek bertindak memotong tali tunda serta membiarkan tali terjuntai panjang di bahagian belakang vesel serta memasang palang besi di bahagian kiri dan kanan vesel berkenaan kerana enggan memberi kerjasama ketika diarah untuk berhenti.
“Namun helah itu gagal apabila berlaku aksi pasukan APMM mengejar vesel selama 15 minit sebelum berjaya menghentikan dua vesel berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, selepas penggeledahan dilakukan, kedua-dua vesel nelayan asing terbabit disyaki melakukan aktiviti menunda dan menangkap balat dengan penemuan peralatan yang diperbuat daripada besi padu yang direka khas untuk menangkap balat.
“Pemeriksaan ke atas kedua-dua bot berkenaan juga turut menemui lebih kurang 45 kilometer balat basah serta 500 liter minyak diesel dibawa setiap bot berkenaan.
“Seramai 12 individu warga Vietnam berusia lingkungan 30 hingga 53 tahun ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Jelas beliau lagi, semua yang terbabit termasuk bot serta hasil laut diiring masuk ke Jeti untuk siasatan lanjut.
“Keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dianggarkan lebih RM4 juta.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63,” katanya. – Info X