Search

Dari Ketua Menteri ke TYT, Musa lakar sejarah DUN – Salleh

April 8, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin UMNO Sabah menyifatkan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang bakal dirasmikan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri yang baharu, Tun Musa Aman, pada Khamis ini sebagai peristiwa yang bersejarah.

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata ia satu peristiwa yang bermakna bagi Sabah kerana Musa adalah bekas tokoh politik negeri terbaharu dilantik sebagai TYT selepas Allahyarham Tun Sakaran Dandai.

Datuk Seri Salleh Said Keruak.

“Sidang DUN Sabah akan membuka tirainya pada 10 April ini dan lebih bermakna apabila ia dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu, Tun Musa Aman.

“Beliau adalah bekas Ketua Menteri paling lama memimpin Sabah, selama 15 tahun (2003–2018) dan kini dilantik sebagai TYT Ke-11 Sabah.

“Ini kali pertama selepas lebih dua dekad seorang ahli politik berpengalaman dilantik sebagai TYT, kali terakhir ialah Allahyarham Tun Sakaran Dandai pada 1995,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook beliau, hari ini.

Pembukaan DUN Sabah yang akan dirasmikan Tun Musa dijadual pada Khamis ini sebelum disusuli persidangan DUN yang bermula Isnin hingga Khamis depan.

Pada istiadat pembukaan DUN Khamis ini, Tun Musa dijadual menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan yang mencerminkan hala tuju dan aspirasi pentadbiran negeri Sabah.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah dari 1994 hingga 1996, berkata berdasarkan Perlembagaan Negeri Sabah, TYT memainkan peranan penting dalam sistem demokrasi negeri, antaranya melantik Ketua Menteri dan membubarkan DUN atas nasihat Ketua Menteri.

Katanya, TYT juga memberi perkenan kepada rang undang-undang (RUU) dan menjadi simbol perpaduan serta kestabilan negeri.

“Dengan latar belakang pentadbiran yang kukuh dan pengalaman politik yang mendalam, rakyat Sabah yakin Tun Musa mampu menjalankan tanggungjawab sebagai TYT dengan penuh wibawa dan kebijaksanaan.

“Majlis perasmian ini turut diserikan dengan Jamuan Hari Raya, yang mempererat hubungan silaturahim antara TYT, pimpinan negeri dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,” katanya.

Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan berkata, ia satu detik penting dalam sejarah Sabah, selain penuh makna dan simbolik kepada perjalanan masa depan negeri. – Info X