LAHAD DATU: Bekas Ahli Parlimen Silam (sekarang Lahad Datu), Datuk Dr Salleh Kalbi dilaporkan meninggal dunia di Hospital Lahad Datu pada jam 4.40 pagi tadi akibat jangkitan paru-paru.
Menurut isterinya, Datin Fatmah Abdul Aziz, Allahyarham menjalani rawatan di hospital berkenaan sejak kira-kira dua minggu lalu.
Katanya, jenazah akan diurus dan disolatkan di Masjid Firdaus Kampung Sapagaya sebelum dijangka dikebumikan Tanah Perkuburan Orang Islam di Kampung Terusan, di sini, selepas solat Zuhur tengah hari nanti.
Ketika hayatnya, Allahyarham pernah menjadi Ahli Parlimen Silam (kini Parlimen Lahad Datu) mewakili Barisan Nasional (BN) dari UMNO pada 2008 hingga 2013.
Pada masa itu, Parlimen berkenaan mempunyai tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lahad Datu (kini Silam), Tungku dan Kunak.
Bermula pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) Sabah pada 2020, satu kawasan DUN baharu ditambah di kawasan Parlimen berkenaan iaitu Segama.
Pada akhir hayatnya, Salleh, 60, masih aktif berpolitik melalui PKR.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua orang anak perempuan, iaitu Amirah Mahfuzah Syopieah dan Amera Elezadiba Syalesiah. – Info X