Search

PRN17: Sah, BN bergabung dengan PH

April 13, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) sah akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya, di sini, malam ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah berkata perkara itu dimuktamadkan pada pemukiman UMNO Sabah akhir tahun lalu, manakala perbincangan tidak rasmi dengan pemimpin PH Sabah juga sudah beberapa kali diadakan.

Katanya, perbincangan itu akan disusuli secara rasmi dalam masa terdekat berikutan jangkaan PRN17 yang sudah semakin hampir

“Dalam sambutan Hari Raya inipun banyak desas-desus yang kita dengar dan bertanya UMNO Sabah bergabung dengan siapa. Saya kata kita memang bergabung tetapi kita belum maklum.

“Hari ini saya ingin memaklumkan bahawa UMNO Sabah telah mengadakan pemukiman pada satu ketika dan kita memutuskan bahawa akan bergabung dengan PH,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, selain PH, BN juga terbuka kepada parti lain yang ada keinginan, kesungguhan dan kesetiaan dalam membentuk kerjasama.

Jelasnya, BN tidak menutup pintu terhadap parti lain namun menegaskan tidak mahu bekerjasama dengan parti tempatan kerana ada isu tertentu yang membuatkan pihaknya membuat keputusan itu.

“Kita akan pertimbangkan untuk bergabung dengan parti lain dan saya melihat walaupun isu-isu dimainkan oleh pihak-pihak parti lain bahawa parti tempatan perlu diutamakan tetapi sebetulnya kitapun ada isu berhubung dengan parti tempatan ini.

“Nanti saya akan ceritakan apabila kempen pilihan raya, kebaikan dan keburukannya parti tempatan ini. Sebab Sabah inipun telah dipimpin oleh parti-parti tempatan berpuluh-puluh tahun tetapi tidak juga maju, bahkan terus mundur,” katanya.

Katanya, walaupun BN adalah parti nasional, Sabah tetap dipimpin oleh orang Sabah dan kini kebanyakan pemimpinnya adalah orang baharu kecuali Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang pernah terbabit dalam UMNO yang lalu.

“Selebihnya, kami semua orang baharu dan kami menyimpan komitmen yang tinggi, kami akan memajukan negeri Sabah dan membantu untuk menyelesaikan isu-isu tertunggak, isu air, isu jalan raya, isu elektrik dan kita mengutamakan kepentingan rakyat.

“Itulah matlamat kita dan kita percaya apabila kita memberi jaminan, kita tidak tunaikan, maka lepas kita menang nanti, rakyat akan sepak kita balik,” katanya.

Ditanya mengenai agihan kerusi, beliau berkata UMNO-BN mahu mahu mengekalkan 41 kerusi yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020 dan menegaskan parti yang mempunyai ramai penyokong bakal mendapat lebih banyak kerusi.

Sementara itu, Bung Moktar yang menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag turut mengesahkan akan mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN17 nanti. – Info X